Wednesday 5 September 2012

SABAH NEGERI DI BAWAH BAYU II


SABAH NEGERI DI BAWAH BAYU

            Negeri Sabah terletak di bahagian utara Borneo, iaitu kira-kira pada garis lintang          30 42' ke utara dan garis bujur di antara 1150 20' hingga 1190 15' ke timur. Ia merupakan negeri yang kedua terbesar di Malaysia dengan keluasan kira-kira 73,620 kilometer persegi, bersempadan dengan Wilayah Kalimantan, Indonesia di sebelah selatan dan negeri Sarawak di sebelah barat-daya. Negeri Sabah dalam zaman penjajahan dikenali sebagai North Borneo [Borneo Utara]. Pada asalnya, nama 'Sabah' itu merupakan nama asli penduduk peribumi di Sabah bagi bahagian tertentu di pantai barat laut, khususnya yang telah digunakan secara rasmi pada tahun 1877 sempena penganugerahan gelaran Maharaja Sabah kepada Baron Gustave Von Overbeck (salah seorang pengarah syarikat British North Borneo Company) oleh Sultan Brunei, Abdul Momin (1852-85). 

            Kawasan 'Sabah' ketika itu adalah merujuk kepada semua wilayah, sungai, daratan dan daerah yang terletak di dalam kawasan antara Teluk Kimanis di pantai barat laut Borneo dengan Sungai Sibuko di pantai timur. Di antara 21 Jun 1877 dan 22 Januari 1878, kawasan-kawasan tersebut telah disewakan kepada Syarikat Berpiagam Borneo Utara oleh Sultan Abdul Momin Brunei, Pengiran Temenggung Sahibul Bahar Brunei, dan Sultan Jamal Al-Alam Sulu. Istilah 'Sabah' ini secara beransur-ansur digunakan untuk merujuk kepada wilayah Borneo Utara tetapi istilah ini mula digunakan secara rasmi sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1963 melalui kemasukannya dalam Persekutuan Malaysia.Negeri Sabah terdiri daripada lima bahagan pentadbiran iaitu Tawau, Sandakan, Kudat, Pantai Barat dan Pedalaman.Bahagian-bahagian tersebut dibahagikan kepada daerah-daerah pentadbiran, iaitu sejumlah 23 buah daerah keseluruhannya diu Sabah. Kinabatangan merupakan daerah yang terbesar dengan keluasan 17,594 kilometer persegi. Manakala Kota Kinabalu adalah daerah yang terkecil sekali dengan keluasan 350 kilometerpersegi. Manakala bagi wilayah Sabah, menurut andaian setakat ini menyebut bahawa masyarakat manusia di Sabah pada awalnya adalah terdiri daripada beberapa suku etnik peribumi asli yang kemudiannya telah berubah menjadi sebuah masyarakat majmuk terutamanya ekoran daripada proses migrasi yang mula berlaku seawal-awalnya pada kurun masihi yang ke-10 lagi daripada Tanah Besar China, India, Kepulauan Philipina dan Sulu, Kepulauan Cocos dan Maluku, Indonesia dan lain-lain.

         Mengikut bancian rasmi tahun 1980, penduduk negeri Sabah berjumlah kira-kira 1,002,698 orang. Masyarakat negeri ini terdiri 29 kumpulan suku etnik yang dikelaskan sebagai Bumiputra, 12 kumpulan etnik bukan Bumiputra; termasuk 6 kumpulan suku etnik Cina dan selebihnya adalah berketurunan Pakistan, India, Eropah, dan lain-lain. Pada amnya kumpulan-kumpulan etnik dan suku etnik tersebut biasanya digolongkan ke dalam tiga kumpulan etnik utama, iaitu Bumiputra Melayu-Islam, Bumiputra bukan Melayu, dan Cina. Tegasnya, sehingga kini masih tidak ada bukti secara nyata tentang kewujudan satu etnik asli di Sabah.Penduduk peribumi asli Sabah (Borneo Utara) menurut klasifikasi awal yang diberikan oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara terdiri daripada kaum Dusun, Murut, Bisaya, Orang Sungai, Kwijau, Kedayaan, Idahan, Bajau, Brunei, Dayak, Suluk, dan lain-lain. Dusun dan Murut merupakan dua kumpulan kaum yang terbesar bilangannya. Mereka mewaikili lebih kurang 50 peratus daripada jumlah penduduk Sabah dalam kurun masehi ke-19.
     
      Pada keseluruhannya penduduk peribumi merangkumi lebih kurang 80 peratus daripada penduduk Borneo Utara ketika itu. Namun peratusan ini mula merosot sekitar akhir kurun masehi ke-19, khususnya setelah kemasukan kaum pendatang seperti Cina sejak tahun 1887. Pihak penjajah terus menerus mengambil pekerja-pekerja upahan dari luar mengakibatkan berlakunya kemasukan beramai-ramai tanpa sekatan kemudian, terutamanya daripada Kalimantan dan Filipina.

No comments:

Post a Comment