Wednesday 5 September 2012

Sabah Negeri Di Bawah Bayu

Bingkor Kampongku...


SABAH TANAH AIRKU 
NEGERI KITA YANG TERCINTA... 

Sabah juga dikenali dengan nama Negeri Di Bawah Bayu.Sabah adalah negeri yang kedua terbesar di Malaysia, terletak di utara kepulauan Borneo, pulau ketiga terbesar di dunia. Sabah meliputi kawasan seluas 73,500 kilometer persegi dengan pantai sepanjang 14,400 kilometer denganLaut China Selatan terletak di pantai barat, Laut Sulu di sebelah timur laut dan Laut Celebes di sebelah selatan. Sabah adalah satu kawasan berbukit bukau dan merupakan sebuah negeri yang unik dan terkenal dengan kepelbagaian kebudayaan suku kaumnya. Menurut Agnes Keith (1981), gelaran Negeri di Bawah Bayu bukan merujuk kepada negeri Sabah sahaja tetapi juga merujuk kepada kawasan di Selatan Sulu. Terdapat kira-kira 2.5 juta penduduk Sabah merangkumi lebih daripada 30 suku kaum dan terdapat sebanyak 80 dialek bahasa yang digunakan. Sabah terdiri daripada 6 daerah pentadbiran yang dipanggil "Residensi" iaitu Kudat, Pantai Barat-Utara dan Selatan, Pedalaman, Sandakan dan Tawau. Bandar-bandar utama di Negeri Sabah adalah Kota Kinabalu (ibu negeri), Sandakan dan Tawau.
Penduduk Sabah terdiri daripada kaum Kadazan atau Dusun, Bajau, Murut, Kelabit, Rungus, Kedayan, Brunei, Lundayeh, Rungus,Iranun, Ida’an, dan lain-lain. Ciri-ciri kebudayaan negeri Sabah amat unik kerana kepelbagaian suku kaum. Tiga suku kaum utama di Sabah iaitu masyarakat Kadazan-Dusun, Bajau dan Murut. Kumpulan etnik yang utama adalah Kadazandusun, Murut, dan Bajau. Dengan itu, Sabah adalah kaya dengan penduduk berbagai-bagai kaum dengan latarbelakang kebudayaan masing-masing.
Menurut Suzannah Mohamad (2008), suku kaum Kadazan-Dusun yang merupakan kaum terbesar di Sabah iaitu mewakili satu pertiga dari jumlah penduduk Sabah dan majoritinya tinggal di Pantai Barat. Suku kaum yang tergolong dalam suku Kadazan-Dusun ialah Rungus, Lotud, Tambonuo, Kimaragang, Sanayo, Minakok dan Tenggera. Suku kaum Bajau merupakan suku kaum kedua terbesar di Negeri Sabah. Suku kaum Bajau terbahagi kepada dua iaitu Bajau Pantai Barat dan Bajau Pantai Timur. Seterusnya suku kaum ketiga terbesar ialah suku kaum Murut yang tinggal di Selatan Pantai Barat. 


No comments:

Post a Comment