Wednesday 5 September 2012

KAUM MURUT DI SABAH


Perkataan ‘Murut’ merujuk kepada kumpulan penduduk yang tinggal di lereng bukit atau tanah tinggi di Pedalaman Sabah. Murut terdapat di beberapa kawasan seperti Keningau, Tenom, Pensiangan, Sipitang, Kalabakan dan Kinabatangan. Kaum Murut terbahagi kepada Murut Tahol atau Tagal, Tidung, Timugon, Sembakung, Paluan, Bookan, Kalabakan,dan Murut Serundung. sebanyak 2.9% daripada penduduk di Sabah iaitu lebih kurang 50,000 orang. Suku kaum Murut juga terdapat di Brunei, Sarawak dan sempadan Kalimantan. Kaum Murut mempunyai bahasa tersendiri yang berbeza dengan suku kaum Murut yang lain. Ini disebabkan faktor geografi sebagai penghalang dalam komunikasi bahasa mereka. 
Secara uniknya, kaumMurut tinggal di rumah panjang yang berhampiran dengan kawasan sungai ataumembuat penempatan sepanjang sungai. Mereka tinggal di dalam rumah panjang yang menempatkan 10 hingga 20 keluarga. Tetapi terdapat juga kaum Murut yang tinggal dan membina penempatan secara individu di sepanjang sungai. Suku kaum Murut pakar dalam membuat perahu dan menurunkan kepakaran mereka kepada generasi seterusnya. Selain itu kaum Murut pakar dalam berburu dan masih mengamalkan tradisi bertatu seperti kaum Iban di Sarawak tetapi tradisi ini semakin kurang di lakukan oleh generasi muda suku kaum ini.
Terdapat adat istiadat kaum Murut yang masih kekal sehingga kini iaitu adat istiadat semasa upacara perkahwinan. Upacara perkahwinan orang Murut terutamanya Murut Tahol atau Tagal adalah sangat unik kerana upacara perkahwinan yang diamalkan penuh dengan adat dan berlangsung di rumah panjang dalam masa yang lama. Adat seperti tina’uh atau Bului dan ‘barian sampaimati’ masih diamalkan hingga kini. Adat ‘tina’uh’ adalah adat yang paling tertinggi dalam adat istiadat perkahwinan kaum Murut Tahol atau Tagal. Adat tina’uh adalah adat hantaran mas kahwin atau barangan perkahwinan yang terakhir oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan. Adat Tina’uh ini boleh dilakukan selepas 20 atau 30 tahun selepas perkahwinan mereka. Adat ini boleh juga dilakukan semasa perkahwinan berlangsung dan mengikut kemahuan serta kemampuan pihak pengantin lelaki. Semasa membuat adat tina’uh terdapat beberapa upacara yang perlu dilakukan. Adat ‘barian sampai mati’ juga adalah adat kaum Murut yang sangat unik dan menjadi adat turun-temurun dalam perkahwinan.
                  Kaum Murut juga menyambut perayaan seperti Hari Raya, Hari Krismas, Tahun Baru, Majlis harijadi, pengembumian dan Pesta Kalimaran dan lain-lain. Pesta Kalimaran ialah pesta sama seperti kaum kadazan-Dusun yang menyambut pesta Kaamatan. Ia di sambut selepas mereka menuai padi. Kaum Murut masa kini, telah mengalami proses kemodenan dan ramai yang berkerja sebagai kakitangan kerajaan dan bukan kerajaan. Mereka juga tinggal di bandar-bandar besar dan mempunyai pekerjaan profsional. Namun demikian, Kaum Murut ini masih lagi mengamalkan adat istiadat yang diamalkan oleh nenek moyang mereka sebagai adat turun temurun yang mempunyai nilai estetika tinggi dalam kehidupan.

No comments:

Post a Comment